Saturday, December 30, 2006

EIDUL ADHA

Sesungguhnya Aidil Adha mempunyai pelbagai dimensi dalam sebuah perjuangan hidup insan dengan memberikan fokus kepada nilai pengorbanan. Iktibar pengorbanan telah dibuktikan dalam tinta sejarah dan susurgalur perjuangan sejak zaman Nabi Adam a.s. akan kepentingannya dalam melakar sesuatu kejayaan. Kesediaan berkorban dengan niat dan cara yang betul amat didambakan sebagai prasyarat kejayaan samaada kepada sebuah perjuangan dakwah, perjuangan politik, perjuangan ekonomi maupun ketenteraan.

Penghayatan Aidil Adha membawa dimensi makna Rabbani dengan amalan takbir, tahmid dan ibadah korban. Ia sesungguhnya mampu menghantar jiwa manusia yang ikhlas ke tahap penghayatan Rabbani. Manakala amalan sadaqah, menggembirakan sesama manusia dan memanjangkan silaturrahim membawa dimensi makna insani yang tergambar daripada penghayatan Aidil Adha. Justeru itu, sebuah perjuangan untuk membawa perubahan sesungguhnya amat mendambakan kesediaan untuk berkorban.

Kelazimannya mana-mana pihak berkuasa yang memerintah terutama yang terlibat dengan pelbagai penyelewengan dan tindakan zalim akan menentang sebarang langkah perubahan yang boleh menggugat hegemoni mereka. Pengorbanan bermaksud kesediaan untuk bersabar, istiqamah , ikhlas dan terus berjuang sehingga kejayaan dicapai.

Senario semasa negara dan antarabangsa jelas membayangkan ada banyak agenda umat dan kemanusiaan yang memerlukan perhatian sewajarnya. Ia meliputi perjuangan ke arah proses globalisasi yang lebih adil, pembahagian kekayaan dunia dengan lebih saksama dan agenda keamanan dunia yang lebih konkrit. Manakala dalam kontek negara rakyat terus dihantui oleh kos kehidupan yang membebankan, amalan rasuah yang tidak ditangani dengan tegas dan gejala keruntuhan akhlak yang tidak disantuni dengan berkesan.

SELAMAT HARI RAYA EIDUL ADHA 1427h

No comments: